Artikel ini diambil dari terbitan (posting) oleh seorang forumer Forum Cari. Tujuannya untuk perkongsian dan sebagai simpanan. Benar atau tidak hanya Allah yang menentukannnya.
Penulis : Acescipters
Misteri: Tibet 'pusara' makhluk asing
RAHSIA tulisan aneh pada cakera kuno yang ditemui dalam gua di
pergunungan Tibet pada 1938 akhirnya terungkai selepas 20 tahun kekal
misteri.
Kod tulisan berkenaan dipecahkan Dr Tsum Um Nui dari Universiti Peking,
China yang menjalankan kajian tulisan pelik yang tidak pernah wujud di
dunia ini sehingga membolehkan beliau membaca catatan kuno yang ditulis
pada cakera itu.
Sebaik membaca catatan terbabit, Dr Tsum terkejut kerana tulisan aneh
itu menyimpan satu catatan mengenai peristiwa besar yang pernah berlaku
puluhan ribu tahun lalu.
Dr Tsum pada mulanya kebingungan memikirkan peristiwa yang tercatat di
sebalik tulisan kuno itu. Begitu juga kewujudan cakera terbabit,
kejadian yang tercatat di atasnya juga adalah satu peristiwa misteri dan
fiksyen yang bertentangan dengan hukum logik akal.
Cakera itu ditemui pada 1938 oleh sekumpulan ahli arkeologi universiti
terbabit di sebuah gua pergunungan Bayan Kara-Ula. Ketika sedang
menjalankan kerja mencarigali di gua terbabit, penyelidik menjumpai satu
kawasan kubur purba di dalamnya.
Kubur itu dibuat dengan sangat rapi dan di dalamnya ditemui tulang
kerangka yang mirip jasad manusia. Bentuk kerangka itu kecil tetapi
bahagian tengkoraknya lebih besar berbanding kerangka tubuh.
“Mungkin tulang ini milik spesies gorila gunung yang masih belum ditemui sesiapa,” andai seorang daripada ahli penyelidik.
“Siapa pernah mendengar yang spesies gorila mengebumikan jasad gorila
lain?” bidas Prof Chi Pu Tei, yang mengetuai ekspedisi itu. Dia mungkin
masih bingung memikirkan yang kawasan kubur dalam gua itu begitu teratur
sekali gus membuktikan ia mungkin dibina spesies yang mampu berfikir.
Di samping kerangka aneh dan kubur itu, turut tersembunyi artifak
misteri berupa cakera yang terdapat lubang di tengahnya (bentuk itu
menyerupai cakera padat pada zaman ini).
Cakera yang dianggarkan memiliki diameter berukuran 20 sentimeter (sm)
itu ditemui tertutup oleh lapisan debu dan terletak di sudut gua. Kajian
lanjutan terhadap artifak itu kemudian menemui satu fakta mengejutkan -
cakera itu dihasilkan pada 12,000 tahun lalu.
Kebingungan semakin mengasak minda penyelidik tatkala memikirkan apakah
pada 12,000 tahun lalu, ada alat untuk membuat cakera itu dan apakah
tujuan ia dihasilkan? Lebih membingungkan mengenai sekitar lubang di
tengah cakera, terdapat goresan teratur menyerupai bentuk tulisan yang
sangat kecil.
Tanpa ada sesiapa yang dapat menterjemah maksud tulisan itu, ia dibawa
ke Universiti Peking untuk dikaji lebih lanjut. Selepas berhempas pulas
selama 20 tahun, akhirnya kod tulisan itu berjaya dipecahkan.
Dr Tsum memerhati tulisan asing berkenaan, kemudian mula menterjemah
catatan rahsia yang tersembunyi pada cakera purba itu. Antara lain
catatan rahsia itu menceritakan satu kejadian misteri seperti berikut:
Pada zaman dulu (kira-kira 12,000 tahun lalu), sebuah pesawat dari luar
angkasa terhempas di kawasan pergunungan itu. Pesawat terbabit rosak
teruk sehingga tidak mampu lagi untuk dibaiki.
Ia sekali gus menyebabkan makhluk dalam pesawat terbabit tidak dapat
kembali ke tempat asal mereka dan terpaksa menghuni di kawasan
pergunungan terbabit.
Kejadian pesawat angkasa lepas yang terhempas itu menggemparkan penduduk
pergunungan iaitu suku Ham. Mereka bergegas ke kawasan pesawat yang
terhempas itu dan terkejut melihat fizikal makhluk daripada kapal
angkasa itu, agak berbeza dengan jasad manusia.
Menyangka
kehadiran makhluk asing dan peristiwa pesawat angkasa terhempas itu
sebagai ancaman terhadap keselamatan mereka, suku Ham kemudian memburu
dan membunuh makhluk asing berkenaan yang digelar suku ‘Dropa’.
Kumpulan makhluk asing yang terdiri daripada perempuan dan kanak-kanak
berusaha menyelamatkan diri dengan bersembunyi di gua terbabit yang
akhirnya menempatkan kubur dan cakera berkenaan.
Catatan rahsia yang dipecahkan Dr Tsum itu kemudian semakin
membingungkan apabila cerita yang tertera pada cakera didapati hampir
menyamai kisah legenda penduduk setempat iaitu makhluk daripada angkasa
yang berbadan kurus, kecil tetapi berkepala lebih besar pernah wujud di
kawasan gunung itu.
Pada 1965, penyelidik berhasil menemui 716 cakera dalam gua itu. Seorang
penyelidik Russia, W Saitsew yang melanjutkan kajian Dr Tsum mendapati
cakera itu diperbuat daripada campuran kobalt dan sejenis besi misteri
yang tidak dapat dikenal pasti. Beliau juga mengandaikan yang cakera itu
adalah sebahagian daripada komponen litar elektrik.
Selain itu, pada dinding gua itu juga ditemui gambar matahari, bulan,
sebuah bintang yang belum dikenal pasti dan planet Bumi yang
keseluruhannya dihubungkan oleh sebuah garis titik-titik.
FAKTA: Kaum Dropa
# Pengkaji UFO dan makhluk asing menjadikan Cakera Dropa sebagai antara bukti kewujudan makhluk dan pesawat misteri itu di Bumi.
# Keturunan suku kaum Dropa dikatakan masih wujud di kawasan pergunungan itu.
# Suku Ham dan kaum Dropa dikatakan akhirnya berdamai. Kaum Dropa
kemudian dikatakan menurunkan ilmu ‘angkasa’ mereka berkaitan teknologi
kepada bangsa Ham menyebabkan bangsa Cina lebih maju daripada bangsa
Eropah, ribuan tahun lalu.
# Cakera Dropa diperbuat daripada campuran kobalt dan sejenis besi yang tidak dapat dikenal pasti.
# Kumpulan skeptikal menafikan kewujudan cerita makhluk asing yang tertulis pada cakera berkenaan. |
|
|
Menurut Al Allamah Syaikh Nuruddin Ali,menerusi buku " Awal Mula
Penciptaan Langit Dan Bumi" ketika di tanya oleh Nabi Musa a.s yg
bermunajat kepada Allah s.w.t di bukit Thursia, Allah menjawab bahawa
Dia pertama-tama mencipta Nur Muhammad dan darinya, dan darinya tujuh
puluh ribu planet angkasa, yg masing² luasnya tujuh puluh ribu kali dari
bumi. SETIAP DARINYA BERPENGHUNI 70,000 dari bangsa seperti manusia,
malaikat dan jin. Mereka beribadah kepada Allah selama 70,000 tahun
tetapi akhirnya dibinasakan oleh sebab menderhaka. Kemudian Allah
mengulangi ciptaannya dlm 80,000 planet dan disitu Allah mencipta
sejenis unggas pemakan tumbuhan, namun akhirnya unggas itu punah, lalu
Allah menciptakan 20,000 MANUSIA YG BERASAL DARI CAHAYA tetapi, LAMBAT
LAUN mahkluk ini akan punah juga. Selang 70,000 tahun,Allah menciptakan
Qalam, Lauhil Mahfuzh, Arsy, Kursi dan malaikat dan selepas 70,000 ribu
tahun kemudian terciptanya syurga dan neraka yg kemudiannya disitulah
(syurga) Allah mencipta Khalifah Bumi yg pertama iaitu Nabi Adam a.s.
Allah swt mencipta semua itu hanya dgn kalimat "kun fayakun". |
|
No comments:
Post a Comment