Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
Catatan awal menyatakan Sultan Mansur Shah berhasrat ke Tanah Suci tetapi mangkat sebelum dapat menunaikannya
IBADAT haji di negara ini dipercayai bermula sejak kedatangan Islam ke gugusan Kepulauan Melayu pada abad ke 13. Namun, catatan sejarah yang jelas mengenai perkembangan haji di negara ini sukar diperoleh secara terperinci kerana tidak banyak maklumat mengenainya.
Dipercayai orang Melayu yang berkemampuan dan terbabit dalam aktiviti pelayaran ialah kelompok terawal menunaikan haji, namun tiada catatan atau apa-apa penunjuk aras mengenainya ditemui.
Pengamal perubatan Portugis, Tom Pires mencatatkan dua pemerintah Melaka ada menyatakan hasrat ke Makkah iaitu Sultan Mansur Shah yang memerintah dari 1456-1477 Masihi atau 860-881 Hijrah dan Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488 Masihi/881-893 Hijrah). Namun, kedua-duanya tidak dapat meneruskan niat mereka kerana mangkat.
Dalam catatan itu, Tom Pires menjelaskan kedua-dua pemerintah sudah membuat persediaan, termasuk menyediakan emas yang berganda jumlahnya dan mempersiapkan kapal untuk pelayaran menunaikan haji.
Catatan Tom Pires bagaimanapun, tidak boleh dianggap sebagai rekod terawal berkaitan pelayaran masyarakat Melayu menunaikan haji ke Makkah kerana ibadah haji itu sendiri adalah satu kewajipan yang dilaksanakan umat Islam.
Catatan yang tidak kurang penting mengenai jemaah haji dari Kepulauan Melayu ialah perjalanan ilmuwan Muhammad Yusuf Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali pada 19 Masihi (13 Hijrah).
Tok Kenali berasal dari Kelantan melanjutkan pengajian agama beliau di Makkah ketika berusia 18 tahun. Dicatatkan beliau mengambil masa enam bulan untuk sampai ke Makkah. Tok Kenali kemudian mengambil keputusan menetap di Makkah bagi menuntut ilmu, di samping menunaikan umrah dan haji.
Beliau kemudian kembali ke Kelantan pada usia 40 tahun dan mengasaskan pusat pengajian Islam. Selain beliau, beberapa ilmuwan Islam di Kepulauan Melayu yang terkenal ialah Hamzah Fansuri yang belayar ke Makkah pada akhir abad ke 16 Masihi (10 Hijrah) dan Abdul Rauf Singkel menunaikan haji pada 1643 Masihi (1052 Hijrah).
Apabila tiba abad ke 19 dan 20 Masihi, muncul bukti yang lebih banyak berkaitan aktiviti mengerjakan haji masyarakat Melayu di Malaysia. Banyak artifak, manuskrip, bahan bercetak dan gambar direkodkan orang Melayu yang pergi ke Makkah menunaikan haji.
Cendekiawan Malaya Harun Aminurashid bergambar di atas kapal ketika menunaikan haji pada 1960. |
Antara catatan yang menarik dihasilkan Munsyi Abdullah seorang terpelajar berasal dari negara ini yang menceritakan dengan teliti pelayarannya ke Tanah Suci pada 1854 Masihi (1270 Hijrah) melalui Hikayat Pelayaran Abdullah.
Selepas itu ramai cendikiawan Melayu dan golongan terpelajar yang pernah ke Makkah menunaikan haji dan umrah mengabdikan pengalaman mereka dalam bentuk tulisan bagi berkongsi ilmu dengan orang lain.
Beberapa manuskrip bertulisan jawi ditemui di Kepulauan Melayu menyentuh pelbagai aspek berkaitan haji, termasuk catatan peribadi dan maklumat mengenai haji bersifat keagamaan.
Cendikiawan Melayu Harun Aminurashid menulis pengembaraannya ke Makkah dengan kapal laut pada 1960 Masihi (1379 Hijrah) dalam bukunya bertajuk Chatetan ka-Tanah Suchi.
Harun menceritakan perit getirnya sepanjang perjalanan dengan kapal diberi nama Anshun. Antara petikan berkenaan ialah: “susah menjadi penumpang di dalam bahagian tengah kapal...orang yang ingin menunaikan haji mestilah sabar... di sini tiada keseronokan atau kebebasan seperti kebiasaannya ketika di darat...kamu terpaksa menanggung kesusahan ini di sepanjang pelayaran pergi dan balik daripada menunaikan haji, sabar ialah satu-satunya jalan penyelesaian terbaik.”
Selain Harun, ada beberapa tulisan lain yang menceritakan keterujaan mereka menunaikan haji serta gambaran perjalanan ke Tanah Suci seperti Jaafar Jusoh Al Haj (Perihal Pemergian ke Mekah dan Madinah yang diterbitkan pada 1937 Masihi (1355 Hijrah) dan Haji Ismail Haji Ishak dalam bukunya bertajuk, Ke Mekah Mengikut Jalan Darat (1975 Masihi/ 1394 Hijrah) .
Selain catatan perjalanan, ada juga ditemui penulisan jemaah haji berkisar mengenai perasaan, pandangan dan pemikiran mereka terhadap apa yang berlaku sepanjang perjalanan yang dipersembahkan dengan gaya tersendiri, termasuk karya seni seperti puisi, lukisan dan poster.
Dicatatkan seorang jemaah haji yang tidak diketahui identitinya mengubah nazam menceritakan perjalanannya dari Kedah ke Makkah.
Dalam nazam tulisan jawi itu, penulis menyatakan tiga bulan dari Kedahlah dan kurang, Pelayaran kapal tatkala menyeberang, Jikalau angin dari belakang sampai ke Jeddah (laut) yang tenang...Dua malam tuan sudah di Jeddah hendak berjalan pula ke Makkah disewalah unta mana yang mudah kecil sedikit daripada gajah...”
Di akhir nazam dinyatakan 120 rahmat ke atas Kaabah iaitu 60 bagi mereka yang mengerjakan tawaf, 40 bagi mereka yang bersembahyang dan 20 bagi yang melihatnya.
Sejak 1900 hingga 1969, jemaah haji negara ini hanya menggunakan kapal laut untuk ke Makkah. Mulai 1970 hingga 1976, sebilangan kecil daripada mereka menaiki kapal terbang tetapi kapal laut masih terus digunakan.
Sejak 1977 kapal laut tidak lagi digunakan, sebaliknya semua jemaah haji Malaysia menaiki kapal terbang untuk ke Makkah. Pada zaman kapal laut, pelayaran dari negara ini ke Makkah mengambil masa di antara dua dan tiga bulan, selain dilihat berisiko lebih tinggi.
Kebanyakan jemaah yang menaiki kapal laut pernah mengalami pelbagai pengalaman pahit, termasuk dilanda ribut taufan. Malah, ada kapal laut yang terbakar ketika dalam pelayaran di tengah samudera. Namun, semua itu dianggap sebagai dugaan dan ujian Allah.
Dalam perjalanan selama berbulan-bulan ke Makkah, ada jemaah yang uzur atau meninggal dunia di atas kapal. Bagaimanapun, rekod sebenar mengenai kematian itu sukar diperoleh.
INFO: Kapal haji
Peristiwa 1947
No comments:
Post a Comment