OLEH:
MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY (UEM)
Tulisan ini insha' Allah akan membicarakan konsep "Nur Muhammad" sebagaimana yang ada dalam beberapa teks Islam Dunia Melayu seperti teks Nur al-Din al-Raniri, Syaikh Zain al-‘Abidin al-Fatani, antara lainnya, semoga Allah memberi rahmat kepada mereka semuanya. Juga akan diberikan perhatian kepada "Madarij al-Su'ud" dalam Bahasa Arab, karangan Syaikh Nawawi al-Bantani, rahimahu'Llahu Ta'ala. Pengamatan akan diberikan berdasarkan sumber-sumber tafsir dan hadith yang muktabar di kalangan Ahlis-Sunnah wal-jama'ah. Dengan ini diharapkan sangkaan yang tidak enak dan tidak manis terhadap para ulama kita akan dihilangkan, dan kita beradab dengan mereka sebagaimana yang dikehendaki dalam hadith "al-din al-nasihah" dalam hubungan dengan ‘a'immatul-Muslimin', antaranya sebagaimana yang dihuraikan oleh al-muhaddithin seperti Imam al-Nawawi rd. Sudah tentu ini adalah satu keperluan dalam menunjukkan kemuliaan Nabi s.a.w. yang bukan hanya "basyar" atau manusia yang terjadi daripada tanah seperti anak-anak Adam yang lain. Ini adalah selain daripada keperluan kita mencari kejernihan dan kebenaran dalam ilmu.
Penulis ini yang menyedari dirinya bukan ahli dalam bidang ini bergantung kepada panduan teks-teks ulama Sunni dalam bidang yang berkenaan dan amat memerlukan teguran mereka yang pakar di dalamnya. Mudah-mudahan kita ini mengenali Nabi kita sebenarnya, mencintainya dan dengan itu kita cinta kepada Allah dan mendapat rahmatNya. Amin.
Kitab Syaikh Nur al-Din al-Raniri rh
Syaikh Nur al-Din al-Raniri menulis tentang tajuk ini dalam kitabnya Bad' Khalq al-Samawat wa al-Ard yang tercetak di tepi kitab Taj al-Muluk (tanpa tarikh). (Lihat tulisan penulis ini "Kosmologi para Fuqaha & Ulama Sufiah Dalam pemikiran Melayu", dalam Kosmologi Melayu, penyelenggaraan Yaacob Harun, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2001, hal.10-22). Antara nas-nas yang disebut di dalamnya ialah hadith qudsi yang terkenal yang bermaksud: "Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi, maka Aku kasih bahawa Aku dikenali, maka Aku jadikan makhluk, maka dengannya mereka mengenaliKu". (Bad' Khalq al-Samawat wa al-Ard, hal. 10). Juga dinukilnya hadith bermaksud: "Sesungguhnya Allah menjadikan ruh nabi dari zatNya dan Ia menjadikan alam semuanya dari ruh Muhammad s.a.w." (ibid. 10). Maksudnya Ia menjadikan ruh nabi daripada tidak ada kepada ada dari SisiNya, bukannya bermakna bahawa sebahagian daripada Tuhan dijadikan ruh nabi. Dinukilnya juga hadith yang bermaksud: "Aku (Nabi s.a.w.) dari Allah, dan orang mu'min dariku". (ibid. 10). Ertinya sebagaimana yang dihuraikannya sendiri bahawa nabi adalah makhluk yang pertama yang dijadikan Allah dan sekelian orang mu'min itu dijadikan Allah daripada Baginda (iaitu daripada nurnya). (ibid. hal. 10). Dinukilkan beliau juga hadith yang bermaksud: "Aku (Tuhan) menjadikan segala perkara kerana engkau (wahai Muhammad) dan Aku jadikan engkau keranaKu" (ibid. 10). Juga dinukilkannya hadith yang bermaksud "kalaulah tidak kerana engkau Aku tidak jadikan sekelian falak ini." (ibid. 11). Dinukilkan beliau juga hadith yang bermaksud: "Aku telahpun menjadi nabi walhal Adam berada antara air dan tanah" (ibid. 11).
Kemudian beliau menukil hadith nur Muhammad. Antaranya ialah yang bermaksud: "Perkara yang paling awal yang diciptakan Allah ialah akal" (ibid. 11); dan yang bermaksud: "Perkara yang paling awal yang diciptakan Allah ialah al-Qalam", (ibid. 11); dan yang bermaksud: "Perkara yang awal sekali yang diciptakan Allah ialah ruh-ruh" (ibid. 11). Beliau menghuraikan bahawa akal, qalam, dan ruh itu ialah kejadian nur Muhammad s.a.w. sebagaimana yang ternyata daripada hadith yang dinukilkan beliau yang bermaksud: "Perkara yang paling awal yang diciptakan Allah ialah nurku" (ibid. 11). Dinukilkannya juga hadith yang bermaksud: "Perkara yang paling awal yang dijadikan Allah ialah ruhku". (ibid. 11).
Mengikut Syaikh Nur al-Din, Allah menjadikan Nur Muhammad itu daripada pancaran Nur AhadiahNya, yang beliau nukilkan ialah kenyataan kitab al-Manzum yang bermakna: "Telah berdempeklah sifat Jalal dan Sifat Jamal, maka ghaliblah Jamal itu atas sifat jalal, maka dijadikan Allah daripada dua sifat itu Ruh Muhammad, iaitu daripada ‘adam kepada wujud (daripada tidak ada kepada ada - uem) (Bad' Khalq al-Samawat wa al-Ard.12). Kita perlu nyatakan bahawa yang dijadikan itu makhluk juga, bukannya sambungan daripada zat atau Diri Tuhan, sebab kalau demikian ada dua yang kadim, dan itu kesyirikan.
Kata beliau bahawa selepas Allah menjadikan Nur Muhammad atau Ruh Muhammad itu Ia tilik kepadanya dengan tilik mahabbah atau kasih, maka ia malu dan berpeluh, dari peluhnya itulah dijadikan ruh-ruh sekelian anbia, aulia dan nyawa sekelian orang mu'min yang salih, dan daripada nyawa sekelian mu'min yang salih itu dijadikan nyawa sekelian mu'min yang fasik, daripada mu'min yang fasik dijadikan nyawa sekelian mu'min yang munafik dan mereka yang kafir. (ibid. 13).
Dan dijadikan daripada insan nyawa insan itu nyawa sekelian malaikat, dan daripada malaikat itu nyawa sekelian jin, dan daripada jin itu nyawa sekelian syaitan, dan daripada syaitan itu nyawa sekelian binatang, daripada binatang itu nyawa sekelian tumbuh-tumbuhan, setengahnya mempunyai martabat yang melebihi yang lainnya; jadilah pula segala jenis nafas tumbuh-tumbuhan itu dan segala anasir itu iaitu hawa, api, air dan angin (ibid. 13).
Kemudian beliau menyebut bagaimana Allah menilik dengan tilikan haibah pula, hancurlah ia, setengahnya menjadi air, setengahnya menjadi api yang menghanguskan air, keluarlah asap, naik ke angkasa, daripadanya di Allah tujuh petala langit. Setelah itu ada bakinya yang tinggal, daripadanya dijadikan matahari, bulan, dan bintang. (ibid.13). Demikian seterusnya.
Beliau menukilkan pula riwayat yang lain, yang masyhur, bahawa Allah menjadikan sepohon kayu dengan empat dahannya, dinamakan Syajaratul-Yaqin. Kemudian dijadikan Nur Muhammad dalam bentuk burung merak, diletakkan atas pohon itu, lalu ia mengucap tasbih kepada Allah, selama tujuh puluh ribu tahun. Bila merak itu terpandang terlalu cantik rupanya, dengan elok bulunya, dan lainnya, sujudlah ia lima kali sujud, jadilah sujud itu kemudiannya sembahyang lima waktu yang wajib atas umat Muhammad s.a.w.
Kemudian dikisahkan bahawa Allah menjadikan kandil daripada akik yang merah. (ibid. 15).
Kemudian Syaikh Nur al-Din menukil riwayat yang menyebut Nur Muhammad dalam bentuk burung merak
Kitab "Kashf al-Ghaibiyyah" oleh Zain al-‘Abidin al-Fatani rh:
Antara kitab Jawi yang popular sebagai rujukan ialah kitab "Kashf al-Ghaibiyyah"
Dalam kitab "Kashf al-Ghaibiyyah" (berdasarkan karangan asalnya "Daqa'iq al-Akhbar fi Dhikr al-Jannah wa al-Nar" karangan Imam ‘Abd al-Rahim bin Ahmad al-Qadhi, dan kitab "Durar al-Hisan" karangan al-Suyuti, dan "Mashariq al-Anwar" oleh Shaikh Hasan al-‘Adawi antara lainnya), oleh Syaikh Zain al-‘Abidin al-Fatani rh (Maktabah wa Matba'ah dar al-Ma'arif, Pulau Pinang, t.t.) Kitab ini dikarang oleh beliau pada tahun 1301 Hijrah. Pada halaman 3 dst. terdapat bab awal berkenaan dengan penciptaan roh teragung, (al-Ruh al-A'zam), iaitu nur Nabi kita Muhammad ‘alaihis-salatu was-salam. Kata beliau:
"Sesungguhnya telah datang pada khabar oleh bahawasanya Allah taala telah menjadi ia akan satu pohon kayu baginya empat dahan, maka menamai akan dia Syajarat al-Muttaqin (Pokok Orang-orang yang bertaqwa), dan pada setengah riwayat Shajarah al-yaqin (Pokok Keyakinan), kemudian telah menjadi ia akan Nur Muhammad di dalam hijab daripada permata yang sangat putih seu(m)pama rupa burung merak dan dihantarkan ia akan dia atas demikian pohon kayu itu , maka mengucap tasbihlah oleh Nur itu atas pohon kayu itu kadar tujuh puluh ribu tahun, kemudian menjadi akan cermin kemaluan maka dihantarkan akan dia dengan berhadapannya; maka tatkala menilik oleh merak itu di dalam cermin itu melihat ia akan rupanya terlebih elok dan terlebih perhiasan kelakuan, maka malu ia daripada Allah taala, maka lalu berpeluh ia maka titik daripadanya enam titik, maka menjadi oleh Allah taala daripada titik yang pertama akan ruh Abu Bakar radiya'Llahu ‘anhu, dan daripada titik yang kedua itu akan ruh ‘Umar radiya'llahu ‘anhu dan daripada titik yang ketiga itu akan ruh ‘Uthman radiya'Llahu ‘anhu, dan daripada titik yang keempat itu akan ruh ‘Ali radiya'Llahu ‘anhu, dan daripada titik yang kelima itu akan pohon bunga mawar dan daripada titik yang keenam itu akan padi" (hal. 3).
Kemudian disebut bagaimana Nur Muhammad itu sujud lima kali, dengan itu, menjadi fardu sujud, lalu difardukan sembahyang yang lima waktu atas Muhammad dan ummatnya. Kemudian disebut Allah menilik kepada nur itu, lalu ia malu, berpeluh kerana malunya. Daripada peluh hidungnya Allah jadikan malaikat, daripada peluh mukanya Allah jadikan ‘Arasy, Kursi, Lauh dan Qalam, matahari, bulan, hijab, segala bintang, dan barang-barang yang ada di langit. Daripada peluh dadanya dijadikan anbia, mursalin, ulama, syuhada dan solihin. Daripada peluh belakangnya dijadikan Bait al-ma'mur, Ka'bah, Bait al-Maqdis, dan segala tempat masjid dalam dunia. (hal. 3-4).
Disebutkan beberapa kejadian lagi daripada peluhnya itu:
* Daripada peluh dua kening: mukminin dan mukminat dari umat Muhammad;
* Daripada peluh dua telinganya: arwah Yahudi dan Nasrani, dan Majusi, golongan mulhid, kafir yang engkar kebenaran, munafikin.
* Daripada peluh dua kaki: segala bumi dari Timur dan Barat dan yang ada di dalamnya (hal. 4)
Kemudian Allah memerintah nur itu supaya memandang ke hadapan, di hadapannya ada nur, di kanan dan kirinya juga nur. Mereka itu ialah Abu Bakar, ‘Umar, ‘Uthman, dan ‘Ali. Kemudian Nur itu mengucap tasbih selama tujuh puluh ribu tahun.
Kata pengarang: dijadikan nur para anbia daripada Nur Muhammad s.a.w.; ertinya dijadikan arwah para anbia daripada peluh ruh Muhammad s.a.w., dan dijadikan segala ruh umat anbia itu daripada peluh arwah anbia mereka itu.
Kemudian diriwayatkan bahawa dijadikan oleh Allah kandil daripada akik yang merah, dilihat orang akan zahirnya itu daripada bahagian dalamnya, kemudian dijadikan rupa Muhammad seperti Baginda di dunia ini, kemudian diletakkan di dalam kandil tersebut, berdiri Baginda di dalamnya seperti berdirinya di dalam sembahyang; kemudian berkeliling roh segala anbia dan lainnya di sekeliling kandil nur Muhammad ‘alaihis-salam, mengucap tasbih dan mengucap tahlil mereka itu selama seratus ribu tahun; kemudian Allah menyuruh segala ruh itu menilik kepadanya; yang menilik kepada kepalanya menjadi khalifah dan sultan antara sekelian makhluk; yang menilik kepada dahinya menjadi amir yang adil; yang menilik kepada dua matanya menjadi hafiz kalam Allah; yang melihat dua keningnya menjadi tukang lukis; yang melihat kepada dua telinganya jadilah ia menuntut dengar dan menerima (pengajaran); yang melihat dua pipinya jadilah ia berbuat baik dan berakal; yang melihat dua bibir mulutnya menjadi orang-orang besar raja. Yang melihat hidung menjadi hakim dan tabib dan penjual bau-bauan. Yang melihat mulut menjadi orang puasa. Demikian seterusnya dengan melihat anggota tertentu, jadilah orang itu mempunyai sifat-sifat tertentu di dunia nanti. Misalnya yang melihat dadanya menjadi orang alim, mulia dan mujtahid. (hal. 5). Dan orang yang tidak menilik sesuatu kepadanya jadilah ia mengaku menjadi Tuhan seperti Fir'aun dan yang sepertinya. (hal. 5).
Beliau menyebut hadith qudsi
Adalah Aku perbendaharaan yang tersembunyi maka Aku kehendak akan diperkenal akan daku maka Aku jadikan segala makhluk supaya dikenalnya akan daku. (hal. 6)
Kemudian beliau menyebut hadith Nabi s.a.w.
Ertinya yang awal-awal barang yang suatu dijadikan Allah taala itu nurku dan pada suatu riwayat ruhku. Kata pengarang ini: Maka adalah sekelian alam ini dijadikan Allah subhanahu taala daripada sebab nur Muhammad s.a.w. seperti yang teleh tersebut. Lalu ia menyebut pula haditrh qudsi:
Ertinya: Aku jadikan segala perkara itu kerana engkau ya Muhammad dan Aku jadikan akan dikau itu kerana Aku, yakni dijadikan nur Muhammad itu dengan tiada wasitah suatu jua pun. (hal. 6)
Melalui kitab terkenal ini tersebar fahaman tentang konsep Nur Muhammad di kalangan Muslimin sebelah sini.
Bab yang berikutnya ialah tentang penciptaan Adam a.s. (hal 6 dst).
Kitab al-Kaukab al-Durri fi al-Nur al-Muhammadi oleh Syaikh Muhammad bin Isma'il Daud al-Fatani rh
Kitab ini (terbitan Khazanah al-Fattaniyyah, Kuala Lumpur, 2001). Kitab ini yang dikarang oleh penulisnya pada tahun 1304 Hijrah, di Makkah, berbicara tentang tajuk yang berkenaan dari halaman 2-7. Isinya berdasarkan riwayat Ka'ab al-Akhbar, sebagaimana yang ada dalam kitab "Kashf al-Ghaibiyyah" karangan Syaikh Zain al-‘Abidin al-Fatani. Antaranya maklumatnya ialah: Tuhan menggenggam satu genggam daripada NurNya, diperintah ia menjadi Muhammad, ia menjadi Muhammad, ia menjadi tiang, ia sujud kepada Allah, dibahagi nur itu kepada empat bahagi, pertama menjadi Lauh, kedua Qalam, perintah menulis kepada Qalam, sampai kepada umat nabi-nabi, yang taat dan yang derhaka, dengan akibat-akibat mereka. Sampai disebutkan riwayat tentang sesiapa yang melihat nur itu pada bahagian-bahagian tertentu jadilah ia mempunyai sifat-sifat tertentu. Sekelian makhluk dijadikan daripada nurnya. Ia berakhir dengan menyebut makhluk sembahyang dengan huruf nama Ahmad dan Muhammad, berdiri qiyam seumpama alif, ruku' seumpama ha', sujud seumpama mim, duduk seperti rupa dal. Juga dikatakan makhluk dijadikan atas rupa huruf nama Muhammad, kepala bulat seperti mim, dua tangan seperti rupa ha', perut seperti rupa mim, dua kaki seperti rupa dal.
Kitab "Daqa'iq al-Akhbar fi Dhikr al-jannah wa al-Nar" terjemahan Melayu oleh Syaikh Ahmad ibn Muhammad Yunus Langka:
Kitab ini diterjemahkan oleh beliau pada 1312 Hijrah di Makkah dahulunya diterbitkan oleh dar Ihya' al-Kutub al-‘Arabiyyah, Mesir. Kemudian ia diterbitkan oleh Maktabah wa matba'ah al-ma'arif, Pulau Pinang, tanpa tarikh. Isi kitab ini berkenaan dengan nur Muhammad s.a.w., asal kejadiannya, bagaimana semua makhluk dijadikan daripadanya adalah sebagaimana yang telah disebutkan oleh Syaikh Zain al-‘Abidin dalam "Kasshf al-Ghaibiyah"nya yang menjadikan kitab ini sebagai satu daripada sumber-sumbernya, sebagaimana yang dinyatakan dalam bahagian permulaan kitabnya. Bab pertamanya sama isinya dengan apa yang ada dalam kitab terjemahan ini.
Kitab Madarij al-Su'ud oleh Nawawi al-Bantani rh
Kitab "Madarij al-Su'ud ila ‘ktisa' al-Burud", dalam Bahasa Arab, syarah bagi kitab "Maulid al-Barzanji". Dalam mensyarahkan kata-kata dalam "al-Barzanji" hal. 2-3 (Surabaya, tanpa tarikh dan Singapura, tanpa tarikh) bermaksud "Segala puji-pujian bagi Allah yang membuka (seluruh) wujud ini dengan Nur Muhammad (‘al-Nur al-Muhammadi") yang mengalir dalam tiap-tiap perkara (perkara yang ditakdirkannya oleh Allah taala sebelum daripada Ia menjadikan langit-langit dan bumi selama lima puluh ribu tahun.
Kemudian kata Syaikh Nawawi rh lagi menukil Ka'ab al-Akhbar Allah meredhainya: "Bila Allah hendak menjadikan sekelian makhluk dan mengamparkan bumi dan menegakkan langit, Ia mengambil segempal daripada nurNya firmanNya Jadilah kamu Muhammad, maka jadilah ia sebagai tiang daripada nur dan gemilang bercahaya sehingga sampai kepada hijab zulmah kemudian ia sujud, sambil katanya: Al-hamdulillah, kemudian Allah berfirman kerana itu Aku jadikan engkau dan menamakan engkau Muhammad, daripada engkau Aku memulakan penciptaan dan (dengan engkau) Aku mengkhatamkan sekelian rasul; kemudian Allah taala membahagikan nurnya itu kepada empat bahagian, dijadikan daripada yang pertamanya Lauh daripada yang keduanya al-qalam, kemudian Allah berfirman kepada Qalam tulislah, kemudian qalam ... selama seribu tahun kepara kehebatan Kalam Allah taala kemudian ia berkata; Apa yang hamba hendak tuliskan, Tuhan berfirman ‘Tulislah ‘la ilaha illa'Allah Muhammadun Rasulullah' maka Qalam pun menulis yang demikian itu, kemudian ia menjadi terbimbing kepada Ilmu Allah dalam makhlukNya, kemudian ia menulis anak-anak Adam sesiapa yang taatkan Allah dimasukkanNya ke dalam Syurga dan sesiapa yang derhaka kepadaNya dimasukkanNya ke dalam Neraka;
Kemudian (ia menulis) tentang umat Nuh, sesiapa yang taatkan Allah dimasukkanNya ke dalam Syurga dan sesiapa yang derhaka kepadaNya dimasukkanNya ke dalam Neraka...
Demikian seterusnya dengan menyebut umat nabi Ibrahim, ... umat nabi Musa ..., umat Nabi ‘Isa ..., sampai kepada umat nabi Muhammad s.a.w., ... kemudian bila Qalam hendak menulis sesiapa yang derhaka dari umat Muhammad akan dimasukkan ke dalam Neraka, terdengar suara dari Tuhan yang Maha Tinggi ‘wahai Qalam, beradablah, maka pecahlah Qalam kerana rasa haibah itu, ..., kemudian ini diikuti dengan sebutan tentang bahagian ketiga dijadikan ‘Arasy, dan bahagian yang keempat dibahagi empat pula daripada yang awalnya dijadikan akal, daripada yang kedua dijadikan ma'rifah, daripada yang ketiga dijadikan cahaya ‘Arasy, dan cahaya mata, serta cahaya siang, maka tiap-tiap cahaya ini adalah daripada Nur Muhammad.
Kemudian dinyatakan yang bahagian yang keempat itu diletakkan di bawah ‘Arasy sehinggalah Allah menjadikan Adam a.s., maka Allah letakkan nur itu pada belakangnya, dan dijadikan para malaikat sujud kepadanya, dimasukkannya ke dalam Syurga, walhal para malaikat bersaf di belakang Adam, melihat kepada nur Muhammad. Bila Adam alaihis-salam bertanya mengapa malaikat berdiri di belakangnya bersaf Allah menjawab mereka itu sedang melihat kepada nur kekasihNya Muhammad yang menjadi khatam sekelian rasul dan anbia. Kemudian Adam meminta nur itu dipindahkan ke hadapan, lalu diletakkan pada dahi Baginda. Maka malaikat mengadap wajahnya pula. Adam meminta pula dipindahkannya lalu diletakkan pada jari telunjuknya supaya ia boleh melihatnya; maka bertambah-tambahlah cantiknya nur itu. Kemudian disebut nur itu dipindah kepada Hawwa', kemudian kepada nabi Shith, dan seterusnya. Demikianlah nur itu berpindah daripada satu rahim yang suci kepada rahim suci yang lain, sampai ia kepada sulbi ‘Abdullah bapanya, kemudian keluarlah ia ke dunia melalui rahim ibunya. (hal. 3).
Perbincangan tentang punca-punca konsep Nur Muhammad:
Antara punca-punca konsep Nur Muhammad ini ialah sebutan-sebutan tentangnya dalam Qur'an dan Sunnah.
Dalam al-Qur'an terdapat sebutan tentang "nur" dalam ayat yang bermaksud "Sesungguhnya telah datang kepadamu Nur dari Allah dan Kitab yang nyata" (Al Quran 5:15).
Tentang ayat di atas "Tafsir al-Jalalain" oleh al-Suyuti menyatakan makna nur itu ialah "rasulullah s.a.w.".
Dalam "Tafsir al-Qurtubi" dinyatakan begini:
Telah datang kepada kamu Nur dari Allah, iaitu cahaya, dikatakan "Islam", dan dikatakan: Muhammad s.a.w. dari al-Zajjaj. Dan "kitab" itu dikatakan Qur'an.
Dalam "Tafsir al-Tabari" "nur": telah datang kepada kamu wahai ahli Taurat dan Injil Nur dari Allah, yakni Nur itu Muhammad salla'Llahu ‘alaihi wa sallam yang dengannya dicerahkan kebenaran dizahirkan Islam dan dihapuskan kesyirikan.
Dalam "Tafsir ibn Kathir" tentang ayat ini (Al Quran 5:15) dinyatakan:
Telah datang kepada kamu Nur dari Allah dan kitab yang nyata, Allah taala memberi khabar berekenaan dengan diriNya sendiri bahawa Ia mengutuskan RasulNya Muhammad dengan Bimbingan Hidayat dan Agama yang hak kepada semua ahli bumi.
Berkenaan dengan ayat 119 Surah al-Syu'ara'
Dan perubahan gerak engkau di kalangan mereka yang sujud
Kata Mujahid dan Qatadah: (perubahan gerak engkau di kalangan mereka yang sujud) iaitu di kalangan mereka yang sembahyang. Kata Ibn ‘Abbas: dalam sulbi-sulbi bapa-bapa kamu (turun temurun) Adam, Nuh, dan Ibrahim, sehingga Allah keluarkan Baginda sebagai nabi (akhir zaman). Kata ‘Ikrimah: Melihat engkau berdiri, ruku', sujud; Ibn ‘Abbas juga berpendapat demikian.
p/s : Wallahu'alam..tak tercapai dek akal. Cuma nak kaitkan nur2 dengan konsep tenaga
No comments:
Post a Comment