
Terdapat banyak bahan mentah di Endau. Antaranya kayu balak, hasil-hasil hutan seperti rotan, damar dan juga gading gajah. Hasil-hasil laut dikeringkan dan dijual keluar dari Endau. Kebanjiran penduduk-penduduk Cina dikawasan Endau terbukti dengan adanya perkampungan baru yang dinamakan Kampung Hubong. Juga terdapat satu petempatan tentera bagi mengawasi dan menghalang pengaruh komunis di kawasan tersebut. Kesan-kesan tinggalan askar kini dijadikan sebuah sekolah agama bagi anak-anak tempatan.
Kira-kira 25 km dari Mersing dan 20 km dari Endau, terdapat sebuah pusat peranginan yang sedang dibangunkan. Kawasan tersebut dinamakan Teluk Sari bersempena dengan cerita-cerita orang dulu yang akan bermalam sehari di teluk itu apabila berulang-alik dari Endau ke Mersing. Manakala nama Penyabong berasal sempena dengan kebiasaan lanun-lanun yang menetap di situ menjadikan tempat itu sebagai kawasan menyabong ayam. Kemunduran Endau dipercayai berpunca dari sumpah anak Pahang bernama Damak. Antara bunyinya "bagi orang-orang Endau, masa hadapan bandar ini tidak akan maju seperti apa yang telah saya buat". Hal ini tidak dapat dipastikan kebenarannya namun jika benarlah maksud kata-kata itu, bermakna Endau tidak diberi perhatian dalam usaha-usaha pembangunannya.
Salah satu mukim yang terdapat di dalam Daerah Mersing yang sejarahnya berkait rapat dengan sejarah Mersing ialah mukim Tenglu. Tenglu dikatakan mendapat nama dari persahabatan yang erat antara pemuda Melayu, Abul dan pemuda Cina, Lam Seng yang telah membawa kepada kerjasama untuk menanam getah di kawasan yang terletak lebih kurang 5 batu dari Sungai Mersing. Setelah menjalani proses pembersihan kawasan dan penanaman, mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan makanan. Abul tidak tahan menanggung risiko ini dan ingin segera kembali ke Mersing. Beliau telah berkata kepada Lam Seng "Tinggallah Lu" sehingga terbitlah nama Tenglu.
No comments:
Post a Comment