Oleh ZAMRI RAMBLI
SAYA pertama kali bertemu Adi Putra pada November 2005 di rumah datuknya di Tanjung Malim, Perak. Dalam pertemuan itu, Adi Putra telah menyelesaikan masalah darab matematik sepantas empat saat, sedangkan saya baru separuh jalan menekan punat nombor kalkulator. Adi baru berusia enam tahun ketika itu.
Saya juga terkejut dengan kepantasan Adi Putra mencongak, beberapa kiraan pendaraban yang lain seperti ribu dengan ribu, pengiraan isi padu silinder, pecahan dan perpuluhan di atas. Dalam diam, saya mengagumi kepintaran Adi Putra dan sekali sekala berasa diri saya kerdil di hadapannya.
Dua tahun kemudian, minggu ini, saya teruja lagi dengan pemilik wajah comel ini - Adi Putra dikatakan memiliki kelebihan lain selain matematik iaitu apa yang dipanggil deria keenam atau gerak hati.
Ahad lepas, Adi Putra berkunjung ke rumah keluarga Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang hilang di Taman Medan, Petaling Jaya, sejak 9 Januari lalu. Menurut Adi Putra, beliau sedang cuba mencari Sharlinie menggunakan 'caranya'.
Ketika lawatannya, Adi Putra turut memberikan formula berbentuk pil bagi menenangkan perasaan ibu dan bapa Sharlinie selain pergi ke padang tempat Sharlinie dilihat sebelum kehilangannya.
Kemudian, Adi Putra membawa sekumpulan anggota polis ke Ulu Yam, Gombak selepas mendapat petunjuk Sharlinie pernah berada di situ. Walaupun, kecewa kerana hanya mendapat jejak kosong, penemuan satu tulisan bertulis 'media' di atas tanah memang mengejutkan. Ia dikatakan ditulis oleh penculik terbabit yang marahkan pihak media.
Menurut bapanya, Abdul Ghani Abdul Wahid, 49, sebenarnya ini bukanlah bantuan pertama yang diberikan oleh Adi Putra berkaitan orang hilang.
"Pernah sekali seorang kanak-kanak dipercayai lemas sudah 18 hari tidak ditemui. Keluarganya datang pun untuk minta tolong kalau-kalau boleh diberi petunjuk walaupun hanya untuk dapatkan tulang anaknya.
"Kami turun sendiri ke kampung mangsa untuk mencari. Bayangkan kami mencari di sebatang sungai dari tengah malam sampai pukul 5 pagi. Kemudian Adi Putra ajak balik. Sekitar pukul 7 pagi, keluarga mangsa telefon memberitahu mereka sudah menemui mayatnya dan ia masih dalam keadaan baik," cerita Abdul Ghani.
Akui beliau, Adi Putra tidak mahu menemui mayat mangsa secara terus kerana tidak suka mendabik dada. "Adi Putra usahakan dan biarkan orang lain yang temui, jadi orang tidak terlalu mengaitkannya dengan Adi Putra," katanya.
Dan Khamis lalu, saya berpeluang berbual santai dengan Adi Putra untuk menyelami kepintaran matematiknya dan bagaimana anak kecil ini melihat dunia. Saya juga ingin memahami sisi lain seorang Adi Putra.
Saya dibenarkan menemu bual Adi Putra secara bersendirian tanpa ditemani ibu bapanya - sesuatu yang jarang diperoleh media lain.
"KASIH ibu. Serihana Elias dan suami terus mencari formula terbaik untuk membesarkan anak genius mereka."
Sepanjang temu bual itu, sambil mulutnya semakin lancar menjawab soalan saya (berbanding dua tahun lalu dia lebih pendiam), tangannya juga pantas menekan punat permainan video.
Dan sebelum saya pulang, Adi Putra sempat berpesan: "Untuk abang, Adi nasihatkan baca Alam Nasyrah (surah al-Insyirah) setiap hari."
Saya tanya kenapa surah itu? Jawab Adi: "Untuk rezeki abang."
Dan untuk kesekian kalinya, saya melihat keistimewaan Adi Putra dan ia sukar diterangkan.
Selebihnya, Adi Putra seperti kanak-kanak sebayanya - makan KFC, gemar menonton siri kartun Naruto, menunggang motosikal mini dan meminati penyanyi Adam AF2.
EKSTRA!: Dari mana Adi Putra dapat ilham mencipta Sajak Akulah Adi Putra, Anak Merdeka?
ADI PUTRA: Maksudnya, masa Adi buat apa ya? Adi dapat sebelum tidur. Dalam pukul 3 atau 4 pagi.
Macam mana boleh terfikir?
Tak tahu, tiba-tiba terlintas dalam fikiran. Adi karang dan ambil masa dua hari.
Dalam sajak itu Adi mengajak bangsa kita bangunkan negara dengan bertemankan surah Yasin dan matematik. Kenapa surah Yasin dan matematik?
Sebab matematik itu tunjang ilmu dan Yasin pula untuk penerang hati.
Adi baru berusia sembilan tahun tapi ada banyak maklumat yang Adi tahu selain matematik. Dari mana Adi tahu semua itu? Adi membaca buku atau ada orang yang ajar?
Ilham. Datang tiba-tiba. Dan ia muncul tengah malam atau awal pagi. Contohnya, Adi fikir-fikir tentang benda tu, tiba-tiba ia datang. Apa yang Adi hajat, ia sampai dalam beberapa saat atau minit. Bukan datang dari mimpi.
Adi tidak ke sekolah sekarang. Apa yang Adi buat setiap hari?
Pagi-pagi lepas mandi, Adi biasanya suka main permainan video. Petang ada kelas tahfiz dan bahasa Inggeris. Lepas itu, Adi main badminton atau naik motosikal kecil.
Adi kata masa di sekolah dulu (Sekolah Islam Antarabangsa, Gombak) Adi macam 'kereta Ferrari yang dibawa seperti kereta kancil'. Sebab apa Adi kata macam tu?
Otak Adi ni, diibaratnya macam kereta Ferrari. Tetapi dibuatnya macam budak darjah satu. Maka rosaklah otak Adi. Dekat Malaysia ni bukannya ada orang yang boleh repair otak Adi. Perumpamaan tu memang Adi terfikir macam tu jelah.
Adi banyak cipta formula matematik, apa lagi formula yang Adi nak cipta selepas ini?
200 lebih (formula matematik) sudah ada sekarang. Insya-Allah kalau ada lagi yang terbaru Adi akan tambah.
Apa yang ingin Adi cipta bila besar nanti?
Insya-Allah Adi akan cipta dua jenis satelit. Satu satelit angkasa dan dua satelit bumi untuk negara-negara Islam sahaja dengan menggunakan password al-Quran. Satu kita guna alif, dua kita gunakan ba, tiga kita gunakan ta.
Kenapa Adi suka cipta formula pada waktu tengah malam?
Ilham datang waktu itu.
Apa permainan komputer dan video kesukaan Adi?
Counter Strike, game tembak-tembak...Ada juga main game Meet the Robinsons.
Bila besar Adi nak jadi apa?
Adi nak jadi profesor matematik Islam.
Adi tahu Adi terkenal sekarang?
Tahu juga. Adi tahu sebab ada orang tegur, baca paper dan tengok TV. Tapi paling banyak orang tegur la. Yang tegur ada tua dan muda.
Adi selalu jumpa bermacam-macam orang termasuk menteri dan sultan. Adi tak takut jumpa mereka?
Tak sangat. Perasaan biasa saja. Tidak ada apa-apa yang Adi fikirkan. Biasa sahaja.
Ketika beri ceramah pada orang ramai masa seminar, Adi tak rasa gementar?
Tak gementar. Adi bagi seminar matematik untuk pelajar, guru dan usahawan.
Apa yang Adi Putra tahu tentang Sharlinie?Kenapa Adi nak tolong cari Sharlinie?
Sebabkan polis minta. Tapi mula-mula Adi baca surat khabar. Adi bagi tahu ayah, Adi hendak tolong.
Apa yang Adi nampak masa pergi rumah Sharlinie?
Adi nampak (Sharlinie). Tapi tak tahu lokasi betulnya. Adi fikir pasal dia, Adi doa dan tiba-tiba Adi terlintas (dalam hati). Masa tu Sharlinie tak buat apa-apa.
Adi tahu di mana Sharlinie sekarang?
(Adi diam. Dia terus bermain permainan video)
Ketika ke Ulu Yam bersama polis tempoh hari, Adi yakin Sharlinie pernah dibawa ke situ?
Tak tahu, tapi memang tempat tu yang terlintas di fikiran Adi.
Bagaimana Adi tahu? Adi ada dengar suara bisikan, nampak sesuatu atau ia tiba-tiba ada dalam hati?
Memang terfikir begitu. Perkara itu memang datang dalam fikiran. Macam ada benda juga yang bagi tahu dekat Adi.
Semasa memberi ubat pada ibu Sharlinie supaya dia berasa lebih tenang, apa yang Adi baca?
Adi dah buat air tu yang dibacakan dengan doa.
Doa apa?
Maaf, tak boleh Adi bagi tahu.
Adi boleh baca apa yang ada dalam fikiran orang?
Boleh juga. Melalui gerak hati Adi. Tengok badan orang tu, Adi boleh baca. Adi boleh terlintas (dalam hati) kalau ada orang datang dengan niat tak baik.
Adi tetap salam, jangan bersikap sombong. Cuma Adi berdoa pada Allah agar dia tak buat benda jahat.
Adakah letih menjadi seorang genius?
Tak letih dengan matematik, cuma letih selalu layan ramai orang. Tapi Adi syukur pada Allah.
Apa ucapan untuk ibu dan ayah?
Semoga panjang umur. Terima kasih sebab jaga Adi.
Sudah berapa banyak Adi hafal al-Quran?
Adi baru belajar tahfiz - Adi belajar mengaji dan hafaz sekali. Adi dah hafal lebih kurang 11 hingga 12 ayat dari surah al-Baqarah.
Sumber : www.kosmo.com.my
NASI DAGING UTARA
5 weeks ago
No comments:
Post a Comment