Hmm..drebarnya lelaki?
KUALA LUMPUR, 17 Jan — Pengalaman mencuba perkhidmatan bas wanita dari Pasar Seni ke Taman Maluri buat kali pertama menunjukkan ia tiada bezanya jika dibandingkan dengan bas biasa yang digunakan selama ini. Kita sudah lama terdedah kepada dan biasa dengan sistem pengangkutan normal.
Kini ada pilihan bagi kaum wanita.
Kelebihannya cuma tiada unsur tolak-menolak atau rebut-merebut sewaktu menaiki bas untuk mendapatkan tempat duduk.
Pelbagai persoalan timbul gara-gara “kelahiran” perkhidmatan bas wanita ini, di mana ada pihak yang berpendapat golongan lelaki secara tidak langsung dipandang serong serta didiskriminasi atas alasan gangguan seksual dialami kaum wanita ibu kota.
Ada juga yang berpendapat, langkah mengasingkan golongan wanita dan lelaki tidak semestinya dapat membendung masalah gangguan seksual kerana jalan penyelesaian mudah seperti ini langsung tidak dapat mendidik masyarakat menghargai serta menghormati kaum wanita.
Sewaktu tinjauan dalam bas khas wanita ini, penumpang wanita nyata lega kerana dapat menaiki bas tanpa digesel atau dihimpit golongan lelaki. Dari raut wajah mereka juga didapati mereka berasa amat selesa dan dihargai.
Hasil temu bual dengan beberapa wanita yang kebetulan menaiki bas khas untuk wanita dari stesen Pasar Seni mandapati mereka memuji langkah memperkenalkan bas tersebut sambil mengatakan, ia amat selesa.
Dengan sebulat suara, mereka menyatakan langkah ini dapat mengawal masalah gangguan seksual semasa menggunakan pengangkutan bas awam.
Salah seorang pengguna ditemui, Devi berkongsi pengalaman pahitnya dan anak gadisnya ketika menaiki bas biasa tidak lama dulu.
“Saya dan anak saya selalu dihimpit oleh lelaki dalam bas,” kata Devi yang pernah kehilangan dompet ketika berada di atas bas yang sarat dengan penumpang.
“Anak saya pula pernah kehilangan telefon bimbitnya dan diganggu ketika dalam perjalanan pulang dalam bas,” tambah Devi sambil meluahkan perasaan rasa bimbang dia terhadap keselamatan anak gadisnya yang terpaksa menaiki bas pada waktu puncak.
Hasil tinjauan di stesen bas Pasar Seni didapati lokasi tersebut tidak dapat menampung bas tambahan, lebih-lehih lagi ruang yang mencukupi untuk bas mengangkut dan menurunkan penumpang.
Ada juga saat di mana penumpang terpaksa berlari ke tengah jalan raya untuk menaiki bas hanya kerana tiada ruang untuk bas tersebut untuk berhenti.
Suasana tersebut sungguh kucar-kacir dan tidak sistematik walaupun dengan kehadiran kakitangan bahagian operasi kenderaan syarikat bas RapidKL.
Barisan di platform U40 yang menuju ke Kajang semaking memanjang. barisan yang terdiri daripada golongan lelaki dan wanita sebenarnya hanya hentian sementara bas yang terletak di pinggir jalan.
Melihat sebuah bas khas wanita menuju ke platform U40, segelintir golongan lelaki dengan rasa tidak puas hati terpaksa berundur ke belakang untuk memberi ruang kepada golongan wanita untuk menaiki bas tersebut.
Apabila bertanya akan pendapat golongan lelaki tentang bas wanita, mereka berkata, kewujudan bas tambahan wanita telah melambatkan lagi perjalanan mereka.
Ada juga yang terkilan kerana langkah memperkenalkan bas wanita dianggap satu diskriminasi terhadap golongan lelaki serta memberikan imej yang buruk terhadap mereka.
Rizal pada misalnya meluahkan rasa tidak senangnya sambil berkata, perjalanannya terjejas 30 minit sejak pengenalan bas wanita.
“Dunia ini bukan milik wanita sahaja,” katanya.
“Kaum lelaki pun ada yang kena samun dan terdedah kepada masalah gangguan seksual. Kenapa tidak ada bas lelaki? Bukankah ini satu diskriminasi?” katanya sambil bergegas menaiki bas yang ditunggu kira-kira 30 minit.
Masalah gangguan seksual harus dipandang serius oleh semua pihak supaya tidak mendatangkan kesan buruk kepada wanita mahupun golongan lelaki.
Apa yang perlu dilakukan ialah mewujudkan persekitaran bebas daripada gangguan seksual, yang mampu menjamin keselamatan masing-masing pada jangka masa yang panjang.
Berbalik kepada isu bas wanita, keselamatan wanita tidak patut berakhir dalam bas sahaja, malah keselamatan di hab bas mesti diambil kira juga.
Menurut Ivy Josiah dari Pertubuhan Pertolongan Wanita, idea bas wanita memang mendapat sambutan popular pada masa kini tetapi ia bukan jalan penyelesaian untuk tempoh panjang.
“Idea sebegini amat membimbangkan kerana ia mungkin berakhir dengan pembukaan tempat riadah seperti panggung wayang berasingan untuk golongan wanita dan lelaki kelak,” kata beliau.
Berlandaskan kempen “Lebih Selesa, Lebih Selamat” yang diusahakan RapidKL, ia bertujuan untuk memastikan golongan wanita dapat menikmati perjalanan ke destinasi masing-masing dengan lebih selamat terutamanya pada waktu puncak.
Pengenalan bas sebegini diharap memberi harapan baru kepada golongan wanita supaya berasa selamat dan bebas dari gangguan seksual tidak lagi berlaku - di dalam bas RapidKL.
Perkhidmatan percubaan Bas Wanita Rapid yang bermula dari 1 hingga 31 Disember lalu melibatkan tujuh laluan bas berpenumpang tinggi.
Terdapat dua perkhidmatan bas waktu pagi iaitu pukul 6.45 pagi dan 7.30 pagi dan dua perkhidmatan bas pada waktu petang iaitu pada pukul 6 petang dan 6.45 petang setiap hari. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat
Abdul Jalil dijadual melancarkan Rapid Bas Wanita di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bas-khas-wanita-hanya-penyelesaian-sementara/
PAS puji bas wanita Rapid KL
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 2 Dis: PAS memuji langkah pihak pengurusan Bas Rapid KL yang memperkenalkan bas khusus untuk wanita.
AJK PAS Pusat, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali berkata, langkah itu wajar dipuji kerana memberi faedah besar kepada kaum wanita.
"Sekali lagi tahniah atas perkhidmatan bas Rapid KL khusus untuk wanita.
"Satu peningkatan yang terpuji dan akan memberi faedah yang banyak kepada kaum wanita. Teruskan usaha-usaha baik ini," katanya kepada Harakahdaily.
Penghargaan sama turut disampaikan Dewan Pemuda PAS Pusat yang menyifatkan langkah itu sebagai bijak dan mesra wanita sekaligus memberi sumbangan besar kepada keselamatan dan kesejahteraan kaum hawa.
"Saya percaya ia mampu mengurangkan kadar jenayah seperti jenayah seksual, ragut dan sebagainya. Semoga usaha yang baik dan mulia ini.
"Walau masih diperingkat percubaan namun perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan," kata ketuanya Nasrudin Hassan.
Cadangnya lagi, perkara tersebut diangkat menjadi satu perundangan negara di bawah peraturan jalanraya agar ia menjadi satu dasar perkhidmatan pengangkutan awam yang melibatkan perkhidmatan bas, teksi, LRT dan seumpamanya di seluruh negara khasnya di bandar-bandar utama.
Ketua Pegawai Eksekutif Bas RapidKL Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain semalam berkata, perkhidmatan khas itu dilaksanakan untuk memberi lebih keselesaan dan keselamatan kepada penumpang wanita, selain melindungi mereka daripada gangguan seksual serta bersesakan dengan penumpang lelaki pada waktu puncak.
Tempoh percubaan itu dijalankan di tujuh laluan yang mempunyai jumlah penumpang ramai dengan dua sesi perkhidmatan, iaitu di sebelah pagi jam 6.45 dan 7.30 manakala di sebelah petang pada jam 6 dan 6.45.
Laluan yang terbabit pada sesi pagi ialah U1 (Hab Pinggiran Batu Caves), U8 (Hab Damansara Damai), U22 (Hab Sri Nilam), U40 (Hab Terminal Kajang), U60 (Hab Puchong Utama), U80 (Hab UiTM Shah Alam) dan U81(Hab Subang Suria).
Bagi sesi petang, laluannya ialah U1 (Hab Medan Pasar), U8(Hab Medan Pasar), U22 (Hab Jalan Hang Lekiu), U40 (Hab Pasar Seni), U60 (Hab Pasar Seni), U80 (Hab Pasar Seni) dab U81 (Hab Pasar Seni).
No comments:
Post a Comment