Indonesia mungkin jadi pusat pengeluaran Tata Nano
Memetik beberapa sumber media seperti Utusan Malaysia hari ini, model kenderaan penumpang bersaiz kompak paling murah di dunia, Tata Nano berkemungkinan besar akan dihasilkan dari kilang di Indonesia. Tata Motors India (Tata) ketika ini sedang menjalankan kajian terperinci berkenaan perkara itu dan telah mengadakan perbincangan dengan PT Astra International, syarikat auto terkemuka Indonesia, dan merancang pengeluaran menjelang 2013.
Jika kerjasama tersebut berjaya, Indonesia akan menjadi pusat pengeluaran utama bagi kawasan Asia Tenggara dengan tumpuan pasaran meliputi negara-negara ASEAN seperti Malaysia, Thailand dan Filipina. Model kompak Tata Nano merupakan sebuah kenderaan penumpang dengan empat tempat duduk, telah mengejutkan industri automotif global pada tahun 2009 apabila harga yang ditawarkan paling rendah di dunia, RM7,000.00 seunit.
Pada bulan Mac 2011 yang lalu, Tata dikatakan berminat untuk bekerjasama dengan Proton bagi mengeluarkan kereta rakyat di Malaysia, merujuk kepada model Tata Nano. Namun sehingga kini masih belum ada perkembangan lanjut berkenaan perkara itu. Memandangkan Tata telah merancang untuk mengeluarkan kereta Nano di Indonesia, berkemungkinan besar ura-ura untuk bekerjasama dengan Proton tidak kesampaian.
Setakat mana model Nano mampu menarik minat pembeli di Malaysia?
Tata Nano tidak dinafikan sebuah model kompak murah dengan harga antara yang paling menarik di pasaran. Dijual di India dengan harga serendah RM7,000.00 seunit sewaktu dilancarkan dahulu, harganya jika dilancarkan di Malaysia dijangka sekitar RM20,000.00.
Antara persoalan menarik di sini ialah mampukah sebuah model seperti Nano menarik perhatian pembeli di Malaysia? Melihat kepada trend pembelian kereta di Malaysia, selain harga, reka bentuk sesebuah kereta memainkan peranan utama berbanding harga. Rakyat Malaysia mempunyai citarasa tinggi dalam memilih kereta yang cantik, menawan dan sporty.Sekali imbas Tata Nano tidaklah terlalu cantik, spesifikasinya juga tidak lengkap memandangkan harganya terlalu rendah. Jika harganya dinaikkan sejajar dengan pertambahan spesifikasi dan beberapa ciri standard terkini, agak sukar untuk ia bersaing dengan model-model kereta lain yang sekelas dengannya. Siapa mahu membeli Nano jika harganya hampir sama seperti Perodua Viva?
Tata perlu tahu kemungkinan-kemungkinan yang bakal di hadapi oleh mereka dan tidak boleh membandingkan citarasa rakyat negara lain dengan kemampuan sebenar dan minat rakyat Malaysia terhadap kereta. Murah belum tentu laris jika reka bentuk tidak menarik, selain spesifikasi kurang lengkap. Tata patut melihat apa yang berlaku terhadap jualan Suzuki Alto apabila ia cuba bersaing dengan Perodua Myvi, begitu juga model Chana Era CV6.
credit: arena kereta
No comments:
Post a Comment