Inilah yang berlaku kepada saya pada hari ini Ahad 5.4.2009. Seminar kecil Teknik Menjawab Peperiksaan Sains PMR yang sepatutnya bermula jam 10.00 pagi tidak dihadiri walaupun seorang pelajar 3 Musytari. Program ini diadakan khas untuk pelajar-pelajar yang tak dapat menghadiri seminar yang dikendalikan oleh Tn Hj Hamzah bulan lepas. Pelajar dari kumpulan yang elit ini beria-beria benar meminta dilaksanakan sebelum Ujian Selaras 2 . Temujanji telah dibuat tak kurang 3 kali tetapi inilah hasilnya. Sepanjang hari saya membuat persiapan khas dari segi bahan dan penerangan. Program untuk anak-anak dan membeli-belah keperluan harian selama seminggu terpaksa dibatalkan. Jarak pergi-balik sejauh 20km dengan kaki yg masih sakit akibat terseliuh tempohari tak mematikan semangat untuk ke sana. Bukannya nak mengungkit tetapi inilah hasilnya !! Bukan sekali dua situasi yang sama berlaku malah telah menjadi budaya. Isteri yang mengajar subjek BI di SMK Anjung Batu apabila mengadakan kelas tambahan sentiasa dihadiri pelajar-pelajar yang sanggup berjalan kaki lebih 2 km dari rumah atau menaiki bas. Kita lihat nanti bagaimana dengan 'bijak' pelajar-pelajar 'memindahkan' kesalahan kepada guru. Yelah motto 'pelajar adalah pelanggan' dan 'tiada murid maka tiada guru' adalah 'ubat penenang' kepada guru-guru yang 'teraniaya' akibat sikap pelajar. Bagi saya tiada gunanya setiap kali apabila menjelang peperiksaan besar maka berbondong-bondong pelajar kita menyerbu guru-guru subjek memohon maaf dan merayu mendoa keberkatan. Kadang-kala terfikir juga bagaimana bangsa Yahudi yang dilaknati Allah boleh cemerlang dalam ilmu sains dan teknologi ? Seorang abang yg pernah belajar di Universiti Columbia New York (tempat bom atom pertama dicipta dan debat Ahmenajad dgn ilmuan yahudi) pernah bercerita bahawa golongan Yahudi US ni sangat serius dan bersungguh-sungguh membudayakan ilmu. Golongan professor kanan dan pelajar-pelajar cemerlang di sana yang kebanyakannya Yahudi juga sangat 'warak' dan spiritual. Mereka kerap beribadat dan bertafakkur di biara umpama Jemaah Tabligh di Malaysia. Bagi mereka ilmu dan spiritual sesuatu yang tak dapat dipisahkan dan menjadi budaya utama. Sebaliknya, pelajar-pelajar kita menanti 'disuap' dan mencari alasan untuk menyalahkan golongan pendidik apabila kurang berjaya. Sikap ini tidak jauh berbeza dengan masyarakat kita yang mudah percaya dan bergantung kepada 'keajaiban' dalam segala urusan kehidupan percaya kepada doa semata-mata. Buktinya ialah secara sedar atau tidak kepercayaan bahawa 'urusan negara perlu diserahkan bulat-bulat kepada pemimpin dan urusan agama pula kepada golongan ulama' sudah lama bertunjang. Masyarakat kita malas berfikir dan bertanggunjawab dalam hal-hal di atas kerana yakin bahawa dengan status sebagai umat Islam maka Allah akan menyelamatkan kita. Apabila berlaku krisis yang melibatkan negara, masyarakat dan keluarga cepat-cepat menyerahkan kepada takdir dan akhirnya lupa membetulkan kesilapan. Memang benarlah bahawa kemajuan ilmu sesuatu bangsa atau negara adalah sebagaimana tahap pemikiran masyarakat. Kalau dok bermimpi kisah-kisah lama Kerajaan Melayu Melaka ataupun pemerintahan khalifah zaman Abbasiah maka kita akan terus lalai dan makin terhina. Ini adalah juga punca kenapa program motivasi dan karier sebagai kauselor amat laris di negara kita. Konsep 'Mind Body Spirit' belum difahami oleh masyarakat. Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment