Pengarang:
Eyman Hykal
Penerbit :
Alaf 21
Sinopsis:
Biar aku pintas,
biar aku rentas
Kau pasti tewas dan tumpas!
Untuk menyelamatkan ekonomi Amerika yang semakin parah, Presidennya John Martinez menzahirkan komitmennya terhadap sistem kewangan Islam di sebuah persidangan ekonomi Islam di Malaysia. Namun, niat murninya ditentang The Group, sebuah kumpulan kewangan konvensional Amerika yang didalangi puak Zionis.
31 Ogos ~ Hari Merdeka. Di tengah-tengah kemeriahan sambutan yang berwarna-warni dan gegak gempita rakyat Malaysia, seorang penembak tepat menyasarkan senjatanya ke arah tetamu khas Malaysia, John Martinez.
Biro Risikan Negara atau BISIK, yang mendapat maklumat itu mengutus Fariz Zafar, perisik elitnya untuk menumpaskan penembak tepat itu sebelum peluru dilepaskan. Fariz mula berkejar dengan masa. Setiap detik Fariz harungi penuh debar kerana ia taruhan hidup atau mati.
Komen-komen dari novelis dan para pembaca :
Ramlee Awang Murshid "Ini karya Eyman Hykal yang lebih berani daripada karya sebelumnya, Meniti Maut. "
29.11.2011Hamima Abdul Ghani "Sudah habis baca. Hmm... memang bertepatan tajuk dan isinya. Setiap detik berdebar, lebih-lebih lagi bersemangat ingin mengetahui apakah yang akan terjadi. Akhirnya dapat juga tau kisahnya. Sangat berpuas hati. Garapan cerita yang sangat menarik. Setiap aksi dan situasi dapat dibayangkan seolah-olah seperti menonton TV pula. Tahniah Encik Eyman Hykal. Hmm… masuk juga nama pengkarya yang setiap karyanya saya miliki iaitu Encik Ramlee Awang Murshid."
19.12.2011 Web Sutera Detik Debar memang mendebarkan! Cubaan membunuh Presiden Amerika Syarikat John Martinez sebanyak empat kali dipatahkan oleh Biro Risikan Negara (BISIK). Amerika Syarikat beralih kepada sistem kewangan Islam setelah runtuhnya sistem kewangan riba tajaan Yahudi
Majlis Pelancaran November 2011
Latar belakang penulis
EYMAN HYKAL atau nama sebenar Norden Mohamed, dilahirkan di Mersing, Johor pada tahun 1957. Setelah menamatkan pelajaran sekolah di Sekolah Menengah Sri Mersing, beliau melanjutkan pelajaran di ITM (kini UiTM) dalam bidang Senireka Perusahaan.
Mempunyai latar belakang kerjaya yang berwarna-warni, Eyman pernah bertugas dalam NGO, Jabatan Kerajaan, swasta dan juga pernah berniaga sendiri. Kerjaya awalnya bermula di Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung sebagai Setiausaha Kerja. Kemudiannya beliau bertugas di dalam jabatan kerajaan sebagai Jurulatih dan Pegawai Latihan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Tanah dan Kemajuan Wilayah dan Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri.
Dalam sektor swasta, Eyman Hykal pernah menjawat jawatan sebagai Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pengurus Projek, Pengurus Latihan, Pengurus Pemasaran dan juga Pengurus Sumber Manusia. Tugas-tugas tersebut dijawatnya dalam pelbagai syarikat seperti IPTS, Syarikat Perunding, Periklanan dan Penerbitan. Beliau juga pernah menceburi bidang perniagaan sutera saring.
Sebagai Norden Mohamed, kariernya di Kumpulan Media Karangkraf adalah paling lama. Beliau menyertai syarikat ini sebagai Editor majalah humor Gelihati pada tahun 1991. Kemudian beliau ditugaskan sebagai Pengurus Pemasaran Kumpulan, Pengurus Latihan, Pengurus Sumber Manusia, Pengurus Besar syarikat buku Alaf 21 dan sejak 2010 menjadi Ketua Pengarang akhbar Sinar Harian. Kini, beliau menulis kolum mingguan Maaf Cakap di akhbar itu.
Hobi utama beliau ialah membaca. Eyman mengamalkan tabiat membaca sebuah buku sebulan. Beliau membaca apa jua bahan terutamanya psikologi, agama, perniagaan, falsafah, pengiklanan, pemasaran, komik dan tentunya novel. Hampir kesemua buku yang dibacanya pula diulangbaca sekurang-kurangnya sekali.
Kata-kata hikmatnya ialah, “Don’t be Jack of all trades and a master of none, BUT BE, Jack of all trades and a master of one!”
Blok dan laman Eyman Hykal:
http://www.eymanhykal.blogspot.com
http://www.meniti-maut.blogspot.com
http://www.maafcakap.blogspot.com
http://www.wayangminda.com
Cara pembelian
1. Kedai-kedai buku seluruh tanah air ..rm 17
Ikuti ...
Eyman Hykal di Facebook
Jadilah rakan Facebook Eyman Hykal (Klik di sini...)
Ulasan PHD :
Warga Mersing amat bertuah kerana memiliki seorang novelis thriller terkenal bertaraf nasional. Saudara Eyman Hykal juga merupakan Ketua Editor akhbar Sinar Harian. PHD amat berbesar hati kerana dihubungi oleh beliau melalui Facebook. Tak sabar nak menghayati aksi-aksi yang mendebarkan dalam novel beliau yang terkini.
Untuk pengetahuan warga Mersing, Eyman Hykal juga salah seorang ahli ANAK MERSING iaitu sebuah Facebook Group yang aktif mempopularkan Mersing melalui berita-berita, peristiwa semasa Mersing,pertemuan-pertemuan, karnival Anak Mersing, peluang-peluang perniagaan dan semua maklumat tentang Mersing.
No comments:
Post a Comment