By Sufi blogger
Allah Ta'ala berfirman,"Dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku." Matlamat ibadah insan adalah untuk dapat hidup didalam ingatan yang sempurna kepada Allah.
Namun, banyaknya bilangan rakaat didalam solat atau banyaknya bilangan zikir lisan tidak akan mampu membawa insan kepada zikrullah yang sempurna.
Kesempurnaan ingatan insan kepada Penciptanya hanya dapat diraih apabila dia berhasil meleburkan hatinya didalam ingatan Allah Ta'ala [zikrullah]. Selagi insan masih melihat wujudnya dan wujud alam semesta, maka itulah zikir yang bersandarkan kepada amalan lahiriah. Sandaran bagi zikrullah yang sempurna adalah kepada Zat Allah Ta'ala semata-mata, yakni hatinya fana fillah sedangkan wujudnya baqa billah.
Insan yang sempurna [Insan Kamil lagi Mukammil] bisa menyempurnakan ingatannya kepada Allah Ta'ala didalam segenap detik dan ruang kerana tiadalah hatinya memandang sesuatu melainkan Allah yang dilihatnya. Inilah zikrullah yang sempurna dimana wujud diri insan dan wujud alam adalah dalil kepada kewujudan Zat yang maha Esa.
Penyaksian hati ini merupakan zikrullah yang tidak berhuruf, maha halus [al-latif] dan amat rahsia. Jiwa dan raga insan ini senantiasa bergetar-getar kerana gelombang dirinya melangkaui gelombang alam semesta. Inilah rahsia yang tercipta di antara dirinya dan Penciptanya.
Solat dua rakaat yang didirikan hasil dari zikrullah yang sempurna adalah lebih utama dari solat satu ribu rakaat yang didirikan oleh hati yang lalai. Hati yang lebur dan tenggelam di dalam ingatan Allah Ta'ala [zikrullah] yang sempurna untuk sedetik waktu lebih berharga dari hati yang lalai walaupun hidupnya seribu tahun.
Insan-insan yang menyandarkan hatinya kepada amalan lahiriah tanpa mengenal Zat Allah Ta'ala yang bersemayam didalam segenap detik dan ruang kesedarannya hanyalah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia belaka. Kerana itu masih ada lagi insan-insan yang bersolat tetapi masih berbuat durjana. Amalan zohirnya tidak disertai oleh amalan hatinya, maka jadilah ibadahnya kosong dari kebenaran AL-Haq.
Jika Allah Ta'ala dapat dikenal melalui bilangan ibadah yang banyak, sudah tentu ramai yang bisa mencapainya. Inilah prasangka atau salah-sangka yang jelas mendominasi minda manusia. Tiada daya dan upaya melainkan daya dan upaya Allah Ta'ala. Sekalian yang baik itu dari Allah Ta'ala, bukan dari insan.
No comments:
Post a Comment