Satu pendapat oleh :Abu 61
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail yang sebelum ini tidak kedengaran suaranya mengemukakan pendapat mengenai situasi politik semasa tiba-tiba muncul dengan saranan (mungkin tidak keterlaluan dikatakan larangan; kerana keluar daripada mulut anggota kabinet) guru dilarang berbincang mengenai politik di sekolah walaupun di kantin (berdasarkan laporan Malaysiakini 20 September 2008). Alasan yang dikemukakan oleh beliau ialah perbincangan ini akan membebankan tugas guru yang sedia ada. Amat dangkal hujah seorang anggota kabinet.
Larangan ini lebih merupakan satu usaha untuk mengeluarkan golongan guru daripada arus perdana negara. Adakah dengan menafikan hak guru untuk bercakap mengenai politik, taraf pendidikan akan meningkat? Atau penafian ini akan melahirkan guru-guru yang dicucuk hidung dan mandul pemikirannya?
Kita akur dengan perintah am yang melarang penglibatan kakitangan awam dalam aktiviti politik. Tapi adakah larangan itu sampai ke peringkat tidak boleh bercakap mengenai politik. Di manakah letaknya peruntukan perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara? Jika berasas larangan ini, adakah guru sahaja yang dilarang, bagaimana dengan penjawat awam lain. Kita boleh akur jika larangan ini merujuk kepada perbincangan di dalam semasa bersama pelajar, kerana pelajar merupakan golongan yang belum dibenarkan berpolitik kepartian.
Tidak tahulah di mana justifikasi yang diambil oleh Timbalan Menteri ini sehingga sanggup melarang guru-guru bercakap mengenai politik. Golongan guru merupakan golongan yang peka dengan situasi semasa. Bersesuaian dengan taraf mereka sebagai golongan pendidik. Pengetahuan mereka tidak terhad di dalam buku teks.
Buah fikiran mereka perlu bernas. Salah satu cara untuk membernaskan pemikiran ialah menerusi perbincangan isu-isu semasa yang biasanya disiarkan menerusi media arus perdana. Adakah perbincangan sesama rakan sejawat menjadi satu kesalahan? Jika menjadi kesalahan, elok kiranya diharamkan terus kemasukan akhbar-akhbar dan media perdana lain di kawasan sekolah.
Dalam saat negara berusaha menerusi Kementerian Pelajaran untuk melahirkan modal insan berminda kelas pertama, golongan guru pula diarahkan menjadi golongan berminda kelas yang tidak diketahui. Golongan guru sedar di mana kedudukan mereka.
Jangan bimbang, mereka tidak akan menjadi penganalisis politik; yang ada hanyalah penganalisis politik untuk diterjemahkan setiap kali parlimen dibubarkan.
Jangan bimbang, golongan guru merupakan golongan yang matang untuk menilai situasi. Memadailah golongan guru akur dengan perintah am, tidak perlu lagi perintah tambahan. Lebih baik bagi Timbalan Menteri berfikir bagaimana untuk meningkatkan sahsiah pelajar yang hari ini semakin merosot.
Tidak perlulah berfikir mengenai perkara remeh; sehinggakan perbualan guru di kantin perlu dikawal. Jika perlu juga, hantarlah pegawai dari Putrajaya untuk memantau kerana tiada sesiapa mampu untuk memantau perbualan guru di kantin kerana Timbalan Menteri sendiri mengakui beban guru di sekolah sememangnya berat.
NASI DAGING UTARA
5 weeks ago
1 comment:
Itu satu contoh ketokohan yang dihasilkan oleh parti pemerintah. Beliau ni dulu berjawatan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu. Suatu yang dibanggakan oleh penyokongnya ialah kejayaan Terengganu melahirkan paling ramai lulusan 5A waktu upsr.
Kita tunggu apa pula komen dari persatuan guru seperti nutp dan seangkatannya.
Post a Comment