Puisi yang saya siarkan dibawah ini adalah hasil karya Dr. Sir Muhammad Iqbal iaitu seorang penyair islam yang terkenal. Puisi ini ditulis dalam bahasa Parsi dimuatkan dalam koleksi kitabnya : Asrar-i-Khudi ( Rahsia-Rahsia Diri). Puisi ini dipetik dari mukasurat 29 – 32 :
[[ Pernahkah anda dengar bahawa di zaman silam,
Ada sekumpulan kambing tinggal di satu padang,
Mereka maju dan banyak,
Hingga mereka tidak takutkan musuh.
Akhirnya dari suratan takdir,
Mereka dilanda duka nestapa,
Harimau keluar dari hutan,
Melanggar dan memakan mereka,
Penaklukan dan penguasaan adalah tanda-tanda kekuatan,
Kemenangan adalah manifestasi kekuatan.
Harimau yang garang itu memukul gendang penaklukan,
Kemerdekaan kambing itu mereka lucutkan,
Mereka menjadi mangsa kepada harimau,
Merahlah padang itu oleh darah kambing.
Ada seekor kambing yang cerdik dan bijak,
Lama umurnya dan bergeliga otaknya,
Merasa dukacita memandangkan kaumnya,
Dan merasa marah oleh keganasan harimau,
Ia merungut kepada suratan takdir.
Dan mencari jalan untuk mengembalikan hak-hak kaumnya,
Yang lemah untuk memelihara dirinya,
Mencari jalan dari orang-orang yang bijaksana,
Dalam perhambaan, untuk menolak bencana,
Kuasa untuk mencari helah bertambah cepat,
Dan apabila kegilaan tuntut bela bertapak,
Fikiran hamba dipenuhi dengan pemberontakan.
“Kita dalam penderitaan yang amat sangat” kata kambing ini kepada dirinya.
“Lautan kedukaan kita tidak mempunyai tepi.Dengan tenaga kita tidak dapat lari dari harimau:
Kaki kita perak, kukunya besi”
Tidak mungkin walau bagaimana banyak kita berunding dan berbincang,
Untuk menjadikan dalam kambing sifat-sifat serigala,
Tetapi menjadikan harimau garang kepada kambing- itu mungkin:
Menjadikannya lupa kepada tabiatnya- ini mungkin.
Ia menjadi ibarat Nabi yang diwahyukan,
Dia pun mula bersyarah kepada harimau yang lapar darah.
Dia berteriak : “Wahai harimau penipu kurang ajar,
Tidakkah anda tahu satu hari yang pedih yang tidak ada hentinya!
Aku mempunyai kuasa ruhaniah,
Aku adalah Rasul dihantar oleh Allah untuk kaum harimau,
Aku datang sebagai satu cahaya untuk mata yang gelap,
Aku datang menegakkan hukum dan perintah,
Taubatlah anda dari perbuatan yang salah!
Ayuhai pembuat dosa, ingatlah kepada kebaikan!
Barangsiapa yang garang dan kuat akan beroleh dukacita:
Keutuhan hidup bergantung kepada penafian diri.
Ruh orang yang soleh diberi rezeki dengan rumput.
Orang yang makan tumbuh-tumbuhan sahaja disukai Allah,
Gigimu yang tajam membawa kehinaan kepadamu
dan membuat matamu buta.
Syurga itu untuk orang-orang yang lemah sahaja,
Kekuatan itu adalah alat kebinasaan.
Mencari keagungan dan kekuatan adalah jahat,
Kemiskinan itu lebih manis dari kemewahan,
Kilat tidak mengugut biji jagung:
Jika biji itu menjadi selonggok, ini tidaklah bijak.
Jika anda berfikiran waras, anda jadi sebutir pasir, bukan satu sahara,
Agar anda boleh menikmati sinaran matahari.
Wahai anda yang suka menyembelih kambing,
Sembelih dirimu sendiri dan akan dapat kemuliaan!
Hidup ini tidak akan aman,
Kerana adanya angkara, penindasan, dendam dan penggunaan kuasa.
Meskipun rumput sentiasa dipijak, ia tetap tumbuh dari masa ke semasa.
Dan membasuh tidur kematian dari matanya dari masa ke semasa,
Lupakan dirimu sendiri, jika anda orang bijak!
Jika anda tidak lupakan diri anda, maka anda gila.
Tutup matamu, tutup telingamu, tutup mulutmu,
Agar fikiranmu naik ke langit tinggi!”
Pandang dunia ini kosong, kosong:
Wahai si bodoh, jangan seksakan dirimu untuk iblis!
Puak harimau itu telah lesu oleh perjuangan yang keras,
Mereka dikuasai oleh keseronokan dan kemewahan,
Nasihat yang melemahkan itu mempengaruhi mereka,
Kerana kebodohan mereka telah mendengar nasihat kambing itu,
Harimau yang memakan kambing itu,
Sekarang memeluk agama kambing,
Harimau dengan rela memakan rumput,
Akhirnya sifat-sifat harimau mereka itu hilang.
Rumput itu menumpulkan gigi mereka,
Dan mengaburkan mata mereka,
Beransur-ansur keberanian mereka hilang.
Kilatnya cermin lenyap dari cermin.
Hilanglah kekuatan agung itu dari mereka,
Hilanglah semangat bertindak dari mereka,
Hilanglah kuasa mereka untuk memerintah dan semangat untuk merdeka,
Hilanglah dari mereka kehormatan, kemuliaan dan keuntungan.
Kuku mereka seperti besi itu tidak kuat lagi.
Jiwa mereka mati dan mata mereka jadi kabur.
Kekuatan badan berkurangan dan jiwa mereka bertambah takut;
Ketakutan jiwa menyamun keberanian dari mereka
Kurangnya berani menimbulkan seratus penyakit-
Kemiskinan, ketakutan, kerendahan fikiran,
Harimau yang jaga itu ditidurkan oleh pesona kambing:
Digelarnya keruntuhannya ini Kebudayaan moral.]]
***************************************************
Puisi diatas bagus untuk kita semua baca dan renungi maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh Dr Sir Muhammad Iqbal.
Ibarat atau kiasan penulis berkaitan dengan bangsa harimau, bangsa kambing, kambing tua penipu otak bergeliga amat menarik untuk difikirkan.
Semoga bangsa kita kembali menjadi bangsa yang gagah. Semoga bangsa kita tidak mudah tertipu dengan manusia yang berpura-pura alim tetapi sanggup menggadai agama demi sedikit kuasa!
No comments:
Post a Comment